Persada Kehidupanku

...pasrah...

Friday, March 11, 2005

Bergeraklah sedikit !

Kita tahu bahawa dengan berjalan kaki sahaja kita boleh menghalang pertambahan berat badan, tetapi sekarang para pengkaji di Universiti Duke telah mendapati ia juga boleh membantu kita ‘mengurangkan’ berat badan - tanpa mengubah cara pemakanan yang diamalkan.

Mereka telah menguji seramai 120 orang dewasa gemuk dengan latihan senaman menggunakan treadmill, peralatan elliptical dan basikal senaman. Selepas 8 bulan, mereka dalam kumpulan yang yang bersenam selama 3 jam seminggu (bersamaan berjalan selama 30 minit sehari, enam hari seminggu) dan mereka dalam kumpulan yang bersenam selama 2 jam (berjoging 20 minit, 6 hari seminggu) membakar lemak dalam badan dengan jumlah kilojoule yang sama dan mengurangkan berat badan dalam jumlah yang hampir sama iaitu dengan purata 1.36 kg bagi kumpulan pertama dan 1.13 kg bagi kumpulan kedua.

Satu kumpulan yang lain pula menjalani senaman selama 3 jam seminggu tapi pada kadar yang lebih intensif (bersamaan berjoging 30 minit, 6 hari seminggu) dan mengalami penurunan berat badan sebanyak 3.62 kg. Kumpulan ke empat pula yang terdiri daripada mereka yang tidak bersenam mengalami kenaikan berat badan sebanyak 1.13 kg.

“Kebanyakan orang dewasa dengan mudahnya boleh mengelakkan pertambahan berat badan dengan berjalan kaki”, kata Cris Slentz, pengarang bersama kajian tersebut. “Kelebihan senaman dengan kadar yang lebih intensif ialah masa senamannya sama tetapi kadar pembakaran lemaknya tinggi atau dengan kata lain kita dapat mengurangkan berat badan dengan lebih cepat”.

ketawa penawar duka (6)

Selepas berpindah ke sebuah pekan kecil daripada hiruk-pikuk bandar besar, saya telah dikenali di situ sebagai ‘Puan Arnab’ kerana hobi saya yang suka membela begitu banyak arnab. Satu hari, saya berada di sebuah kedai haiwan peliharaan di pekan tersebut. Saya bertanya kepada si penyambut tetamu, adakah dia mengenali sesiapa yang meminati arnab di kawasan itu. “Ya”, dia menjawab. “Saya kenal dengan satu orang yang begitu minat dengan arnab. Nanti saya berikan nama dan nombor telefonnya.”

Kemudian dia pun memberi sekeping kertas dan apa yang tertulis di atasnya ialah nama dan nombor telefon saya.

angin lalu

Thursday, March 10, 2005

ketawa penawar duka (5)

Seorang juruwang sebuah bank telah menyedari salah seorang dari rakan sekerjanya telah menggelapkan sejumlah besar wang. Dia pun mengadu kepada pengurus.

“Saya tahu”, kata si pengurus.

“Tuan tahu ? Habis tu kenapa tak ambil tindakan untuk memecat dia ?”, tanya si juruwang tadi.

“Tak boleh..”, keluh si pengurus. “Dialah penyimpan kita yang paling banyak di sini.”

amarah yang marah

Barah Prostat dan keseimbangan vitamin D dalam badan.

Hubungkait di antara cahaya matahari, vitamin D dan barah semakin kukuh. Kunci kepada hubungkait ini ialah jumlah vitamin D yang sepatutnya ada dalam badan. Para saintis di Norway, Sweden dan Finland telah menganalisis contoh darah 622 orang lelaki yang mengidap barah prostat dengan 1451 orang lelaki yang bebas dari penyakit tersebut.

Hasil kajian mendapati kebarangkalian lelaki yang mempunyai jumlah vitamin D yang rendah mendapat barah prostat adalah 50 peratus lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai jumlah pada nilai purata. Manakala risiko bagi lelaki dengan jumlah vitamin D yang tinggi pula sebanyak 70 peratus. “Ini satu penemuan yang menarik tetapi bukti yang sama harus kita temui dalam kajian yang lain”, kata Marji McCullough, seorang pakar epidemiologi berpengalaman dari Persatuan Barah Amerika.

Badan mengeluarkan vitamin D apabila kulit badan terdedah kepada cahaya matahari. Kita boleh mendapatkan jumlah vitamin D yang mencukupi dengan hanya mendedahkan muka dan lengan kita kepada cahaya matahari pada waktu tengahari selama 10 hingga 20 minit. Kita juga boleh memperolehi vitamin D daripada susu dan ikan laut seperti salmon. Kadar yang selamat ialah 600 – 800 IU sehari.

Sehinggalah lebih banyak yang kita ketahui mengenai hubungkait antara terlalu banyak vitamin D dengan barah, anda mungkin ingin mengelak daripada mengambil tambahan vitamin D.

Wednesday, March 09, 2005

Adakah lelaki atau perempuan lebih ramai di dunia ini ?

Lebih daripada 6.2 bilion manusia menghuni di atas muka bumi ini dan kebanyakannya adalah lelaki. Namun begitu, perbezaan bilangan di antara lelaki dan perempuan tidaklah begitu ketara. Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 101 orang lelaki untuk setiap 100 orang perempuan menjadikan perbezaan antara mereka dalam lingkungan 40 juta sahaja.

Nisbah jantina ini bagaimanapun tidaklah sekata dari segala segi malah berbeza menurut kawasan dan juga umur. Secara keseluruhannya, dominasi lelaki ke atas perempuan di dunia ini berkurangan mengikut umur di mana pada peringkat umur 50 tahun ke atas, bilangan perempuan telah mula mengatasi bilangan lelaki.

tarian kehidupan

ketawa penawar duka (4)

Menyedari dirinya telah sesat, seorang lelaki membelokkan keretanya memasuki sebuah stesen minyak yang telah ditinggalkan ditengah-tengah sebuah kawasan gurun. Setelah keluar dari keretanya, beliau mendapati satu-satunya makhluk yang ada disitu ialah seekor burung hantu yang sedang bertenggek di atas sebatang pokok kaktus.

“Wahai sang burung, adakah kau mampu memberitahu aku apakah cara yang paling cepat untuk sampai ke pekan?”

“Adakah tuan berjalan kaki atau memandu kereta?, tanya si burung.

“Saya memandu.”

“Kalau begitu, itulah cara yang paling cepat.”

Tuesday, March 08, 2005


jerigi alam

ketawa penawar duka (3)

Semasa dalam perjalanan menghantar barang kepada pelanggan, saya menemui satu papan tanda yang ditulis dengan tangan di persimpangan masuk sebuah lorong kecil yang perlu saya lalui. Papan tanda itu bertulis, “Jalan tersekat. Jangan masuk nanti susah nak patah balik !”. Tanpa memperdulikan papan tanda itu, saya meneruskan perjalanan dan akhirnya bertemu dengan sebatang pokok yang sudah tumbang melintangi jalan itu. Seperti dijangka, saya mengalami kesukaran untuk berpatah balik disebabkan laluan yang sempit. Selepas tiba di persimpangan masuk tadi, saya menemui satu lagi papan tanda yang bertulis. “Dah beritahu..degil !”

Monday, March 07, 2005

ketawa penawar duka (2)

Sepasang suami-isteri telah bertengkar semasa dalam perjalanan pulang ke kampung. Pertengkaran menjadi hangat dan masing-masing tidak mahu mengalah. Akhirnya setelah penat, mereka mendiamkan diri untuk seketika. Tidak lama kemudian mereka melalui sebuah ladang ternakan yang penuh dengan kambing dan lembu. “Saudara-mara you ke ni ?”, kata si isteri, sengaja hendak menyakitkan hati suaminya. “A’ah”, balas si suami, “Saudara-mara sebelah mertua”.

'the wave'

Berapa lamakah sesebuah CD-R boleh bertahan ?

Apabila CD diperkenalkan tidak lama dulu, ia dianggap sebagai suatu alat yang boleh bertahan lama. CD boleh rekod (CD-R) juga mendapat tanggapan yang sama malah pengilang mendakwa jangka hayatnya boleh menjangkau ke 10 atau 200 tahun. Bagaimanapun, sebuah majalah Belanda, PC-Active baru-baru in telah menguji sejumlah kepingan CD-R yang disimpan selama 20 bulan dan mendapati data-data di dalam beberapa keping CD-R tersebut sudah tidak boleh dibaca lagi.

Namun, memang ada sesetengah daripada kita yang dapat menyimpan kepingan CD-R untuk tempoh yang lama dan tidak menghadapi sebarang masalah tetapi harus diingat ketika menyimpan dokumen-dokumen penting atau gambar-gambar dalam CD, pastikan anda :
  • Menggunakan CD yang bermutu atau berjenama. Kualiti lapisan dye yang merekodkan data-data mempengaruhi jangka hayat sesuatu CD.
  • Elakkan daripada menggunakan penanda lekat-sendiri (self-adhesive label) kerana ada bukti menunjukkan gam boleh memberi kesan kepada lapisan dye atau reflective CD tersebut. Gunakan pen khusus untuk menulis CD dan elakkan menulis berdekatan pusatnya.
  • Sentiasa simpan CD di dalam bekasnya di tempat kering, kurang cahaya dan tidak terlalu panas.
  • Buatlah beberapa keping salinan bagi CD-CD yang penting.
  • Salin kesemua data atau maklumat ke CD baru (atau CD yang lebih terkini kelak) setiap tiga hingga lima tahun.

Sunday, March 06, 2005


air dan api

ketawa penawar duka (1)

Tiga orang pemgembara telah ditangkap oleh satu puak primitif yang memakan manusia di sebuah hutan belantara. Ketiga-tiga mereka dibawa menemui ketua puak tersebut. “Kami kaum yang memakan manusia tidaklah sekejam seperti yang kamu sangkakan,” kata si ketua itu. “Saya memberi peluang untuk kamu bertiga hidup tetapi dengan syarat setiap orang daripada kamu hendaklah masuk semula ke hutan dan ambillah mana-mana buah yang kamu jumpa dan bawa ke sini”.

Setelah beberapa jam, pengembara pertama muncul dengan sebiji buah rambutan dan diikuti oleh pengembara kedua beberapa minit kemudian yang membawa dua tiga ulas buah ceri.

‘Baiklah, sekarang kamu mesti memasukkan buah yang kamu jumpa tadi ke dalam hidung dan jangan ketawa semasa melakukannya”, arah ketua puak yang memakan manusia itu. Pengembara pertama cuba memasukkan buah rambutan yang ditemui ke dalam hidung tetapi akhirnya tertawa kerana merasakan perbuatannya itu melucukan. Dia kemudian dibunuh.

Di syurga, dia bertemu dengan pengembara kedua. “Eh, kamu pun dibunuh? Bukankah buah yang kamu jumpa itu kecil sahaja?”, tanya pengembara pertama kehairanan. “Bukan aku tidak boleh memasukkan buah ceri ke dalam hidungku. Tapi semasa aku sedang melakukannya, seorang lagi rakan kita pulang dengan membawa sebiji buah durian”, ujar si pengembara kedua.

Saturday, March 05, 2005


delusi

Mengapakah komputer tidak mempunyai pemacu cakera B ?

Di awal perkembangan komputer, penggunaan cakera liut dan DOS begitu popular. Sistem pengoperasian DOS ketika itu memerlukan dua pemacu untuk kegunaan cakera liut iaitu A dan B. Mengapa? Kerana kebanyakan komputer terawal tidak mempunyai cakera keras seperti sekarang. Komputer di’boot’kan dari pemacu A dan applikasi dilakukan melalui pemacu B.

Kini, apabila komputer sudah mempunyai cakera keras di dalamnya, maka pemacu cakera liut kedua tidak lagi menjadi keperluan. Walau bagaimanapun, ketika komputer jenis baru ini diperkenalkan, komputer lama dengan dua pemacu cakera liut masih juga digunakan. Bagi mengelakkan kekeliruan, pemacu cakera keras dinamakan pemacu C.

Dari segi teknikalnya, komputer bukanlah kehilangan pemacu B tetapi lama-kelamaan sistem pengoperasian Microsoft sekarang seakan-akan ‘sudah melupakannya’ kerana ia tidak diperlukan lagi.

Friday, March 04, 2005


bulan kesiangan..lambang insan kesepian ?

anis..kaulah permata hatiku

Rayuanku

Kuala Lumpur

Assalamualaikum para pengunjung dan pembaca yang budiman.

Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudari yang sudi melawat laman weblog ini.

Nama saya Rafie Yusof, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun. Tujuan saya mengadakan laman weblog ini ialah untuk memberi peluang kepada saya meluangkan masa untuk meluahkan rasa hati serta merakam pengalaman suka-duka menempuh liku-liku hidup sebagai seorang yang menghidap penyakit mental – Chronic Major Depression. Sebelum ini saya pernah bekerja di salah sebuah bank di sini tetapi setelah disahkan menghidap penyakit yang disebutkan tadi, saya telah dipersarakan atas sebab kesihatan dengan kerelaan saya sendiri.

Kini saya tidak lagi bekerja, hanya duduk di rumah menemani dan menjaga anak saya yang menghidap penyakit Cerebral Palsy, sejenis penyakit berkaitan saraf dan otak. Keadaan anak saya tidaklah seperti kanak-kanak lain yang normal.

Justeru, saya sangat memerlukan bantuan dan sumbangan ikhlas saudara-saudari yang budiman kerana meski pun isteri saya bekerja, perbelanjaan kami tiga beranak ada kalanya menjadi begitu kritikal lebih-lebih lagi bagi menampung keperluan penjagaan anak saya.

Walau pun kelihatannya seperti mengemis tetapi saya tidaklah berhasrat untuk menadah tangan kosong sahaja. Umpama orang buta berusaha bermain alat muzik untuk menghiburkan anda disamping mengharapkan sumbangan anda, begitulah juga, dengan serba sedikit ilmu dan pengetahuan yang ada, saya berazam untuk menjadikan weblog ini sebagai satu wadah untuk di isi dengan maklumat-maklumat yang berguna untuk para pengunjung dan pembaca sekelian.

Sebagai permulaan, saya akan cuba menterjemah rencana-rencana, esei, artikel dari sumber bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan menyiarkannya dalam weblog ini. Jika keadaan mengizinkan, saya sendiri akan cuba berkarya dan menambahkan lagi bahan-bahan yang boleh menambahkan pengetahuan kita semua.

Oleh itu, di samping mengharapkan sumbangan orang lain, saya berharap diri ini juga berguna kepada orang lain dengan memberi apa yang terdaya oleh saya.

Akhir sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada saudara-saudari yang sudi membantu. Semoga Allah membalas segala jasa baik yang telah diberikan oleh anda semua.

Sekian, wassalam

Rafie Yusof