Persada Kehidupanku

...pasrah...

Saturday, March 25, 2006

Apabila Isteri Saya Ketawa


Sebelum saya membincangkan mengenai 'depression' dengan lebih lanjut, eloklah saya catatkan di sini mengenai apa yang berlaku pagi tadi.


Semalam, saya telah 'print out' semua entri saya bermula dari 'Prolog' bertarikh 14 Februari 2006. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan kepada doktor yang merawat saya di sesi pertemuan (appointment) pada hari Isnin ini iaitu 27 Mac 2006. Agaknya, dengan cara ini bolehlah ditunjukkan kepada doktor tersebut bahawa sudah ada sedikit perubahan pada diri saya dengan menulis blog. Sekurang-kurangnya, saya sudah ada aktiviti dan motivasi untuk melakukannya.

Tadi, selepas memfailkan entri-entri terebut, saya tunjukkan kepada isteri saya. Sebelum ini beliau tahu saya ada blog sendiri tetapi tidak berkesempatan untuk membacanya. Setelah seketika beliau membaca, tiba-tiba dia ketawa. Saya terkejut tetapi sememangnya merasa terhibur apabila beliau ketawa. Ketawanya mengkikik dan tertahan-tahan. Wajahnya ceria dan ketawanya tidak seperti dibuat-buat.

"Kenapa?", tanya saya dengan perasaan agak curiga.

Agaknya kandungan blog tu mengarut tak
?, bisik hati kecil saya.

Sambil cuba menahan ketawa, isteri saya berkata, "Apalah jawapan budak-budak ni?"

"Apa dia?", tanya saya lagi, kehairanan.

"Ni..ha. Budak-budak yang ambil periksa ni. Nak menipu konon...macamanalah semuanya nak jawab tayar yang mana satu pancit?", kata isteri lagi sambil ketawa kecil.

Lalu saya teringat entri saya yang bertarikh 20 Februari 2006 bertajuk 'Ketawa Penawar Duka (7)'. Saya pun menjelaskan kepada isteri saya bahawa cerita jenaka itu, saya terjemahkan daripada sebuah majalah bahasa Inggeris dan seperti yang dikatakan dahulu saya tidak mahu lagi menterjemah artikel orang lain kerana merasakan seperti memperbodohkan pembaca.

"Bagaimana pula pembaca macam Ayang? Abang tahukan Ayang ni bukannya pandai sangat dalam bahasa Inggeris. Apa salahnya, sekurang-kurangnya ada juga pembaca yang kurang faham bahasa Inggeris dapat juga tahu apa yang abang baca dalam majalah tu." Begitulah lebih kurang ulasan isteri saya.

"Abang janganlah terlalu yakin yang baca blog tu semuanya.....apa abang kata tu.... hah ...'educated'?"

Hmmmm.... rasa berdesing juga telinga ini. Terasa ada unsur menyindir dan rasa tidak puas hati dalam komen isteri saya yang terakhir itu.

Itulah isteri saya, kata-katanya halus dan berlapik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home