Persada Kehidupanku

...pasrah...

Monday, February 27, 2006

Di Waktu Ini



Aku buntu

Aku mangu
Aku keliru

Mengapa begitu
sampai aku lesu
tak seperti dulu

Dulu aku naif
Rasakan bagai sempurna segalanya

Oh kini tak pasti
apakah menanti dan terus menanti
hari-hari esok

Oh beranilah diri
kini bukan seperti dulu
haruskah lagi
terus sendiri dan menyendiri

Tuesday, February 21, 2006

MIMPI

Semalam saya bermimpi. Agak ganjil juga mimpi kali ini. Saya bermimpi seolah-olah saya telah diberi tahu sudah tiba masanya untuk saya mati. Sayapun mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa kepada Tuhan semoga mengampuni segala dosa-dosa saya. Saya tidak fikir pun tentang isteri dan anak saya yang bakal ditinggalkan atau pun tertanya-tanya samada saya akan ke syurga atau neraka. Saya kelihatan begitu redha sekali dan menunggu dengan sabar untuk mengalami proses kematian tersebut. Seluruh tubuh saya tiba-tiba terasa sejuk dan bergetar perlahan. Kemudian terasa seolah-olah ada sesuatu hendak menerjah keluar dari badan saya tetapi tersekat sehingga semakin lama badan saya terasa semakin sendat dan mengejang. Tiba-tiba badan saya mula mengendur kembali dan saya bernafas seperti biasa. Saya pun terjaga.

Kenapa agaknya? Apakah ini satu petanda?

Persoalan-persoalan ini bermain di kepala saya pagi ini. Saya cuba kaitkan dengan apa yang saya sedang lakukan sejak akhir-akhir ini. Ya, saya sudah mula mengisi entri ke dalam jurnal/blog saya yang telah sekian lama ditinggalkan. Namun, saya tidak pernah bertanya kepada diri ini untuk apa saya menulis kembali. Apakah masih mengharap sumbangan kewangan daripada orangramai/pembaca atau semata-mata terdorong untuk menjadi terkenal seperti Saira Hani (penulis blog honeybiru)?

Dalam mimpi itu, saya hendak sangat mati tapi tidak juga mati. Persoalannya, benarkah saya betul-betul ikhlas untuk menghadapi mati? Justeru, rasanya mesej mimpi ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberitahu saya supaya ‘ikhlas’ dalam melakukan apa jua pekerjaan dan ‘redha’ dengan apa yang ada tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Barangkali apalah gunanya saya menterjemahkan artikel-artikel orang lain kemudian memasukkannya semata-mata sebagai entri ke dalam weblog saya. Tidakkah ini seperti memperbodohkan pembaca? Mereka yang berinternet ini itu sudah tentunya ‘well-educated’, kalau mereka baca artikel asal sudah tentu mereka faham malah mungkin lebih ‘accurate’ dari apa yang saya faham, tidak payah diterjemahkan pun!

Ya, sepatutnya saya membuat ulasan, memberi pandangan atau pendapat tentang apa yang saya baca atau mengenai sesuatu perkara. Itu yang pembaca mahu (barangkali?). Kemudian, jika ada pendapat lain, mereka akan komen atau menjelaskan apa pula pandangan/pendapat mereka itu. Dari situ barulah masing-masing boleh mengambil iktibarnya. Mana yang baik dijadikan teladan dan mana yang buruk dijadikan sempadan.

Akhir sekali, saya sepatutnya tidak meletakkan ‘survival’ hidup saya pada orang lain. Seberat mana dugaan hidup saya mungkin ada yang lebih berat lagi. Kenapa begitu mudah saya menagih simpati dari orangramai/pembaca? Saya harus berusaha dan berusaha lagi memperbaiki diri dan akhirnya berserah kepada Allah.

Bukankah Dialah Ilah dan Dialah Rabb yang sebenar-benarnya!


RY - Mulai hari ini, saya tidak lagi linkkan RAYUANKU kepada post pertama saya. Post itu saya kekalkan sebagai arkib tetapi no A/C telah di'delete'kan.

Monday, February 20, 2006

ketawa penawar duka (7)

Empat orang pelajar berjalan dengan tergesa-gesa untuk memasuki dewan peperiksaan di sebuah kolej. Sambil itu, salah seorang daripada mereka bertanya, "Apa alasan kita pada Prof nanti?"

"Aah, katakan saja tayar kereta kita tadi pancit ditengah jalan...habis cerita", balas seorang lagi dengan yakin.

Sampai di dewan peperiksaan, ujian sudah pun tamat. Sebagai seorang yang bertimbangrasa, professor kolej itu sedia menerima alasan mereka malah membenarkan mereka menjawab satu soalan sahaja. "Kalau jawapan kamu semuanya betul, saya akan beri markah A dan jika tidak, maaflah kamu semua akan gagal", ujar Prof itu lagi.

Professor itu segera mengarahkan mereka duduk agak berjauhan dan tidak memandang antara satu sama lain. Setelah itu masing-masing diberikan sehelai kertas yang mengandungi satu soalan sahaja iaitu "Tayar yang mana satukah yang pancit tadi?"

Tuesday, February 14, 2006

Prolog


Maafkan aku teman

kerana diwaktu ini aku menyepi
menyisih diri jauh terpencil

Aku bagai terpasung
dalam penjara yang kubina sendiri

Teman
kalian takkan mengerti
kemana perginya kemesraanku
secara tiba-tiba
lalu....
kita bagaikan seteru
terselit sangsi dan curiga

Aku kaku di sini
dibelenggu mindaku sendiri
yang telah lelah dan lesu
kerana merasa tua
meskipun...
belum waktunya