Persada Kehidupanku

...pasrah...

Thursday, March 30, 2006

Saya Silap

Saya telah melakukan kesilapan yang besar apabila membuat pengakuan terbuka bahawa saya mengidap penyakit mental kepada seseorang yang belum dikenali sepenuhnya.

Saya tidak sangka rupanya komen-komen seperti yang disebut di dalam entri saya yang lepas masih lagi kedengaran pada hari ini. Persepsi saya bahawa masyarakat kita sudah bersikap lebih terbuka dan tidak memandang serong terhadap mereka yang menghadapi masalah mental ternyata meleset.

Apabila seseorang seperti saya mengatakan dia takut gagal, ‘takut’ di sini tidak sama dengan ‘takut’ pada pandangan orang biasa.

“Barangkali saya memang seorang pemalaslah, doktor”, keluh saya kepada seorang doktor pakar psikiatri dalam satu sesi kaunseling tidak lama dulu.

“Saya faham”, kata doktor tersebut. “Tapi awak kena ingat, ‘malas’ orang seperti awak ini adalah 10 kali ganda malasnya bagi orang normal. Ingat, orang biasa pun adakalanya akan merasa malas pada sesuatu masa. Tetapi sekejap aje. Sebab itulah kadangkalanya awak rasa tidak terdaya untuk melakukan apa-apa perkara untuk satu jangkamasa yang lama.”

Depression is not some kind of bullshit. It is a serious matter. Somebody can get killed because of it. Don’t just simply says “You pray to God then you can get rid of it.” No wonder why Sera has long gone from blogging. She has prayed, read Quran then sembahyang tahajud in the middle of the night but yet she is still depressed. I don’t blamed God but I’m blaming those who do not want to understand why God gives them pleasantness but suffer to others.

Apa Sebab Saudara Mengidap Depression?


Takut gagal?

Oooh..siapa yang tak takut gagal. Itu normal bukan penyakit.

Berasa sedih?
Biasalah...semua orang sedih. Itulah perasaan kita sebagai manusia. Ada masa kita sedih ada masa kita gembira..ok apa.

Tak terdaya membuat apa-apa kerja, hilang minat, hilang tumpuan?
Kalau dah malas macam tulah. Sesiapapun kalau malas memang syok tidur sepanjang hari. It is not a big deal, man.

Nak bunuh diri?
Biar betul! Tak ada iman ke? Tak percaya Tuhan ke?

Skeptikal bukan? Jadi apa reaksi saya?

Well..if that the case, I think that all Muslim psychologists and psychiatrists should resign and find other better jobs and I urged Harun Din and the Gang to close Darul Syifa because those who come are a bunch of people who are very lazy to pray to God to make their life better. Say to them "Ey..doalah sendiri. Kau orang ingat Tuhan cuma boleh dengar doa kami aje ke?"

Wednesday, March 29, 2006

Depression (sambungan)

Major Depression mengikut terma perubatan bersifat akut (acute) manakala Minor Depression atau nama lainnya Dysthymic Disorder bersifat kronik (chronic).

Maksud kronik di sini ialah penyakit ini akan mengambil masa yang lama untuk pulih walau pun simtom-simtomnya tidaklah seteruk Major Depression. In the worst case scenario, kehidupan pesakit bagaikan sentiasa dalam keadaan ‘depressed’ walau pun pada pandangan masyarakat dia kelihatan seperti orang normal yang lain; menulis blog, memandu kereta, pergi membeli-belah dan sebagainya.

Seseorang yang mengalami Dysthymic Disorder untuk jangka masa tertentu dan dalam tempoh itu mengalami pula simtom-simtom Major Depression mungkin akan didiagnosiskan sebagai mengidap Double Depression.

Saya tidak nafikan mungkin semenjak kecil lagi saya telah pun ‘depressed’. Ketika di bangku sekolah rendah, saya sering dibuli dan diejek sebagai ‘lembik’ atau ‘bapuk’ oleh abang-abang saya. Mereka mengatakan semasa mak mengandungkan saya, dia begitu teringinkan anak perempuan. Bila saya dilahirkan, mak melayan saya seperti anak perempuan dengan memakaikan pakaian budak perempuan dan membiarkan rambut saya panjang. Nama timangan saya pula ‘Intan’ yang lebih sesuai untuk budak perempuan. Sehinggalah adik perempuan saya dilahirkan, barulah mak dapat menerima saya sebagai anak lelaki. Tetapi abang-abang saya mengambil kesempatan dari peristiwa ini bila saja ada ‘pergaduhan’ adik beradik yang biasa berlaku.

Ketika belasan tahun dan tinggal di sekolah berasrama pula, muka saya ditumbuhi jerawat batu yang teruk sehingga saya merasakan muka saya telah menjadi hodoh. Saya pernah menangis kerana tidak mampu membeli ubat jerawat yang mahal. Saya lebih senang menyendiri termasuklah semasa membuat benda-benda ‘nakal’ yang biasa dibuat oleh budak-budak asrama seperti menghisap rokok dan menyelinap keluar asrama untuk menonton wayang di waktu malam.

Saya teringat satu peristiwa ketika menyertai perkhemahan persatuan St. John Ambulance apabila salah seorang ahli mencadangkan satu permainan. Ketika itu saya sudah pun di tingkatan lima. Saya tidak ingat bagaimana permainannya tetapi sesiapa yang terpilih akan dikehendaki melakukan apa sahaja yang disuruh oleh orang lain seperti menyanyi ke, melompat seperti katak ke atau sebagainya. Satu ketika saya telah ‘terpilih’. Dalam keadaan cemas menunggu apa ‘arahan’ dari ahli-ahli lain, saya terkejut apabila disuruh ‘senyum’ selama satu atau dua minit. Ahli-ahli yang junior bukan main bersorak sakan lagi dan bertepuk tangan apabila saya mula ‘senyum’. Ada yang terlopong dan menekup mulut bagaikan melihat sesuatu yang luar biasa berlaku. Barulah saya sedar bahawa selama itu saya begitu jarang tersenyum di kalangan rakan dan adik-adik junior yang lain.

Keadaan semakin teruk semasa di universiti dan kemudian di alam pekerjaan sehinggalah saya disahkan menghadapi masalah mental dan dipersarakan.

Mengapa doktor-doktor yang merawat memberikan diagnosis yang berbeza-beza? Pada pendapat saya, mereka mungkin merujuk kepada simtom-simtom yang ada pada ketika itu. Maknanya skop penyakit mental ini luas dan bukan mudah mengenal pasti jenis penyakit mental sebenar kerana perbezaan simtom antara satu jenis penyakit dengan yang lain mungkin hanya satu dua simtom sahaja. Seperti juga penyakit fizikal yang lain, ada kalanya doktor terkeliru sama ada seseorang itu mengalami serangan jantung atau pedih ulu hati kerana kedua-duanya mempunyai simtom-simtom yang hampir sama.

Keupayaan saya untuk ‘survive’ sehingga ke hari ini walau pun hidup dalam keadaan ‘depressed’ dan hanya sekali sekala mengalami simtom-simtom yang akut menyebabkan saya lebih senang dengan pendapat doktor pakar yang mendiagnosiskan saya sebagai pengidap Double Depression.

Gila

macam-macam gila
gila pangkat
gila harta
gila talak
gila bola
gila bab.... ops.. gila babeng!

ey… berapa banyak gila da …
gila-gila
lagi-lagi gila
apa punya gila sampai jadi gila

lu gila
lu lagi gila!

bukan itu macam
wa cakap manyak lughilah
nanti mati pegang bendela ma…

mana ada rugi
orang gila mati masuk syurga
bukan pegang bendera

aiya! ada butut ka?
ini macam wa pun mau gila!

ya…wa caya samalu
biar semua orang gila
biar semua orang masuk syurga

biarkan orang tak gila
pegang bendera!


nukilan
rafieyusof
Klinik Psikiatri HKL
27 Mac 2006

Monday, March 27, 2006

Terima Kasih, Puan Ainon


Hari ini semakin bererti apabila blog saya dilawati oleh Puan Ainon Mohd dan sudi pula memberi sepatah dua kata dalam chatbox saya.


Nama beliau bukanlah asing kerana ketika belajar di U, saya telah mengambil kursus terjemahan sebagai subjek opsyen dan buku beliaulah menjadi rujukan saya. Ketika ini pun saya memiliki dua buah buku terbaru karangan beliau bersama Abdullah Hassan sebagai bahan rujukan semenjak aktif menulis blog ini.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas pujian beliau yang mengatakan saya berbakat dan tawarannya untuk melatih saya menjadi pengarang. Saya sangat berbesar hati. Namun, masanya mungkin belum tiba kerana sebagaimana pernah saya katakan dulu, hidup ini umpama menaiki tangga (ladder) untuk menuju ke puncak. Biarlah saya melepasi 'anak tangga' yang sedang dipaut ini sebelum menyambut anak tangga di mana Puan Ainon berada bagi membantu saya.

Saya berharap Puan Ainon akan terus menjengok blog ini dari masa ke semasa dan sudi memberi tunjuk ajar sepintas lalu dalam chatbox saya kiranya dirasakan perlu.

Pertemuan Yang Singkat


Hari ini dalam sejarah!


Sesi pertemuan dengan pakar psikiatri yang merawat saya kali ini merupakan yang paling singkat. Waktu menunggu lebih lama berbanding dengan sesi itu sendiri. Saya sempat menyiapkan sebuah sajak bertajuk 'Gila' dan storyboard untuk projek menulis novel tidak lama lagi.

"You nampak ceria dan happy hari ini. It's a good sign", kata Dr. N. "However, since you have to take xanax, I akan tukar sikit regime ubat you dengan kurangkan dos clonazepam."

Saya cuma tersenyum dan menggangguk sahaja sambil memerhatikan beliau menulis sesuatu di dalam fail dan borang ubat yang berada didepannya.

"Okay...see you again in July, ....Assalamualaikum." katanya lagi sambil menyerahkan buku temujanji dan borang ubat kepada saya.

"Waalaikumussalam", jawab saya lalu beredar dari biliknya.

Cepatnya..........

Sunday, March 26, 2006

Apa Ada Pada Nama



RAFIEYUSOF
R is for Rebellious
A is for Alluring
F is for Frisky
I is for Impassioned
E is for Emotional
Y is for Young
U is for Unreal
S is for Sensual
O is for Optimistic
F is for Fresh

... saja suka-suka guna website ni :
What Does Your Name Mean?

Saturday, March 25, 2006

Apabila Isteri Saya Ketawa


Sebelum saya membincangkan mengenai 'depression' dengan lebih lanjut, eloklah saya catatkan di sini mengenai apa yang berlaku pagi tadi.


Semalam, saya telah 'print out' semua entri saya bermula dari 'Prolog' bertarikh 14 Februari 2006. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan kepada doktor yang merawat saya di sesi pertemuan (appointment) pada hari Isnin ini iaitu 27 Mac 2006. Agaknya, dengan cara ini bolehlah ditunjukkan kepada doktor tersebut bahawa sudah ada sedikit perubahan pada diri saya dengan menulis blog. Sekurang-kurangnya, saya sudah ada aktiviti dan motivasi untuk melakukannya.

Tadi, selepas memfailkan entri-entri terebut, saya tunjukkan kepada isteri saya. Sebelum ini beliau tahu saya ada blog sendiri tetapi tidak berkesempatan untuk membacanya. Setelah seketika beliau membaca, tiba-tiba dia ketawa. Saya terkejut tetapi sememangnya merasa terhibur apabila beliau ketawa. Ketawanya mengkikik dan tertahan-tahan. Wajahnya ceria dan ketawanya tidak seperti dibuat-buat.

"Kenapa?", tanya saya dengan perasaan agak curiga.

Agaknya kandungan blog tu mengarut tak
?, bisik hati kecil saya.

Sambil cuba menahan ketawa, isteri saya berkata, "Apalah jawapan budak-budak ni?"

"Apa dia?", tanya saya lagi, kehairanan.

"Ni..ha. Budak-budak yang ambil periksa ni. Nak menipu konon...macamanalah semuanya nak jawab tayar yang mana satu pancit?", kata isteri lagi sambil ketawa kecil.

Lalu saya teringat entri saya yang bertarikh 20 Februari 2006 bertajuk 'Ketawa Penawar Duka (7)'. Saya pun menjelaskan kepada isteri saya bahawa cerita jenaka itu, saya terjemahkan daripada sebuah majalah bahasa Inggeris dan seperti yang dikatakan dahulu saya tidak mahu lagi menterjemah artikel orang lain kerana merasakan seperti memperbodohkan pembaca.

"Bagaimana pula pembaca macam Ayang? Abang tahukan Ayang ni bukannya pandai sangat dalam bahasa Inggeris. Apa salahnya, sekurang-kurangnya ada juga pembaca yang kurang faham bahasa Inggeris dapat juga tahu apa yang abang baca dalam majalah tu." Begitulah lebih kurang ulasan isteri saya.

"Abang janganlah terlalu yakin yang baca blog tu semuanya.....apa abang kata tu.... hah ...'educated'?"

Hmmmm.... rasa berdesing juga telinga ini. Terasa ada unsur menyindir dan rasa tidak puas hati dalam komen isteri saya yang terakhir itu.

Itulah isteri saya, kata-katanya halus dan berlapik.

Friday, March 24, 2006

Depression


Apakah yang dimaksudkan dengan '
depression'?

Umum mengenalinya sebagai salah satu daripada penyakit mental yang diidapi oleh ramai orang dewasa ini. Dalam bahasa Melayu, ia sering diterjemahkan sebagai "kemurungan". Terlalu banyak maklumat mengenai penyakit ini atau penyakit lain yang berkaitan dengan mental boleh diperolehi di internet. Namun, sebagaimana kita maklum, hanya pakar psikiatri sahaja yang boleh menetukan sama ada seseorang itu menghadapi masalah mental atau tidak.


Dari pengalaman saya, pakar-pakar psikiatri mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai masalah mental yang dihidapi oleh seseorang seperti saya. Sebelum disahkan mengidap 'Major Depression', saya telah didiagnosis dengan pelbagai lagi jenis penyakit mental. Mula-mula, doktor yang pertama kali merawat saya mengatakan saya mengidap 'Generalized Anxiety Disorder' dan 'Panic Disorder'. Kemudian seorang doktor pakar lain mengatakan saya berdepan dengan masalah personaliti yang dikenali sebagai 'Underlying Personality Disorder'. Doktor ini merupakan doktor pakar di hospital kerajaan yang agak 'terkenal' kerana bergelar Datuk. Saya cuba mencari maklumat mengenai apa yang dimaksudkan dengan penyakit itu tetapi sering mendapat maklumat berkaitan dengan sejenis penyakit lain yang dikenali sebagai 'Borderline Personality Disorder'. Saya tidak pasti sama ada ia merupakan penyakit yang sama atau saling berkait antara satu sama lain.

Bagaimanapun, sebelum saya berhenti kerja, hampir kesemua doktor pakar berkenaan dan yang merawat saya sehingga ke hari memperakui bahawa saya mengidap penyakit mental yang dikenali sebagai 'Depression'. Ada seorang lagi doktor pakar pula berpendapat saya mengidap kedua-dua kategori penyakit 'Depression' iaitu 'Major Depression' dan 'Minor Depression' atau pun disebut sebagai 'Double Depression'. Entah mengapa secara peribadinya, saya lebih bersetuju dengan pendapat doktor ini.

-bersambung....

Thursday, March 23, 2006

Berpaut dan Bertahan


"Back to square one". Itulah ungkapan bahasa Inggeris yang bermaksud balik ke asal apabila sesuatu yang dilakukan oleh seseorang menempuh kebuntuan atau kegagalan. Adakah ungkapan ini sinonim dengan ungkapan kita "Balik ke pangkal jalan"?


Saya lebih suka menganggap kehidupan ini bagaikan menaiki anak tangga (ladder) menuju ke puncak. Ada masa kita akan terjelepuk beberapa anak tangga ke bawah dan ada masanya kita begitu gagah melangkaui anak-anak tangga dengan pantas untuk menuju ke puncak.

Ketika ini saya ibarat bertahan untuk berpaut kepada anak tangga dikedudukan saya sekarang ini. Saya sedang melepaskan lelah dan cuba untuk mengumpul tenaga secukupnya bagi meneruskan perjalanan menyusuri anak-anak tangga yang menunggu di atas. Saya akan cuba melepasinya satu per satu. Biarlah payah dan perlahan tetapi jika diizinkan Tuhan, mudah-mudahan sampai jua ke puncak nanti.

Wednesday, March 01, 2006

"Mesin Basuh Mak Dah Rosak!"


Semalam, ketika sedang leka mengemob lantai dapur, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi.


"Tritt, tritt, tritt!"

Saya segera mendapatkannya dan pada skrin telefon itu tertera perkataan "BONDA".

"Helo, apa kahabar mak?"

"Khabar baik. P kat mana ni?"

"Kat rumah, tengah mengemas dapur. Ada apa mak?"

"Ooo..tak ada apa tapi...ni ha mesin basuh mak. Lepas membasuh airnya tak nak keluar! Aduuh..kain mak banyak nak basuh ni. Dua tiga hari ni, lutut mak sakit sangat. Nak membasuh hari ni mesin pulak buat hal. P tahu ke apa yang tak kena dengan mesin basuh tu?"

"Kalau bab mesin basuh ni tak tahulah saya pulak. Kalau setakat menyambung wayar atau plug tu, tahulah saya.." jawab saya sejujurnya.

"Lecehlah macam ni...", rungut mak saya lagi.

"Macam nilah, cuba mak tanya Mak Long kat depan atau anak dia ke, mintak tengokkan kalau-kalau dia orang tahu", saya cuba memujuk dan memberi jalan keluar kepada masalah yang dihadapi olehnya.

Setelah berbual tentang perkara lain seketika, mak pun mengucap salam dan saya membalasnya. Ketika mematikan telefon bimbit, saya pun terfikir, "Eh, kenapa pula mak sampai telefon saya beritahu mesin basuhnya rosak?" Yalah, walaupun saya ni belajar sampai ke U tapi rasanya mak pun tahu saya tidak pernah pula me'repair' mesin basuh sebelum ini. Manalah saya tahu!

Namun, rasanya saya mengerti apa yang tersirat di sebalik panggilan tersebut. Saya dah lama tak balik kampung. Sebelum ini, bila telefon sahaja, mak mesti bertanya bila nak balik kampung?

Hujung minggu lepas ada kenduri kahwin di kuarters tempat tinggal saya. Saya baru sahaja berpindah ke situ. Dahlah tak pernah keluar rumah kerana menjaga anak, nanti apa pula kata jiran-jiran, ketika kenduri kendara, batang hidung pun tak nampak. Nama baik isteri saya di kalangan teman-teman sekerjanya kenalah jaga juga. Minggu sebelumnya saya pula demam.

Barangkali orang tua saya dah rindukan anak, menantu dan cucunya. Atau pun minta diberi perhatian. Maklumlah hanya tinggal berdua dengan abah di kampung tu.

Panggilan mak itu betul-betul menganggu fikiran saya. Kalau ikutkan hati mahu sahaja balik ketika itu juga untuk menjenguk keadaan kedua orang tua saya.

Inilah dilemma yang terpaksa dihadapi!

Bukan saya tidak pernah menolong orang tua saya. Ketika bekerja dulu, saya ini memang jenis orang yang tidak kisah dengan duit. Setakat mana yang boleh bantu, saya akan bantu. Tidak kiralah mak ayah mahu pun adik beradik.

Tapi itu dulu. Hakikatnya sekarang ini saya seolah-olah bergantung penuh kepada isteri saya. Makan pakai dialah yang tanggung semua. Masalahnya saya anak lelaki dan bergelar suami. Sebagai anak lelaki saya bertanggunjawab kepada kedua ibubapa dan sebagai suami sayalah sepatutnya menjadi ketua keluarga.

Aduh..adakah Tuhan sedang menduga saya? Apakah kasih sayang saya kepada orang tua hanya ketika berada atau berduit? Mana hendak diutamakan, orang tua atau anak-isteri saya sendiri? Apakah saya dan anak saya akan berterusan ditanggung oleh isteri saya?

Saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab persoalan-persoalan tersebut. Apa yang saya tahu, malam itu terpaksalah saya mengambil xanax sebelum tidur setelah sekian lama tidak mengambilnya.