Persada Kehidupanku

...pasrah...

Wednesday, July 26, 2006

Sepi Seketika

Fuuh..lama juga saya menyepi!

Sebenarnya ada beberapa perkara yang berlaku menyebabkan saya terpaksa melupakan seketika blog ini.

Walau bagaimanapun, sebelum itu elok juga rasanya saya mengulas tentang perhatian yang diberi kepada blog ini. Secara jujur, saya sendiri tidak menyangka akan mendapat reaksi sebegitu walau pun pada hakikatnya saya memang ada menyediakan chatbox dan membenarkan ruangan komen untuk diisi.

Saya akui berasa gembira bila dipuji tetapi tentulah tidak adil apabila di ‘tegur’ sikit, saya mula jadi sensitif. Saya juga mula resah apabila ada yang sudi menghulur salam persahabatan dan mengajak saya berhubung dengan lebih rapat lagi.

Bersediakah saya untuk bersikap lebih terbuka? Itulah persoalannya. Kadangkala saya jadi serba salah dan berat hati untuk ‘menjenguk’ blog sendiri.

Memanglah kalau hendak syok sendiri, saya boleh tulis apa yang saya suka dalam diari sahaja dan kemudian membacanya sendiri. Tidak perlulah hendak ber ‘blogging’ untuk berkongsi dengan orang lain. Namun itulah yang tersirat. Jauh disudut hati, ternyata diri ini ingin didekati dan difahami oleh orang lain.

Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi menjenguk dan mencoretkan sepatah dua kata buat saya. Harap-harap janganlah ada yang ambil hati dengan layanan saya yang tidak seberapa ini.